Tahniah buat semua pelabur Amanah Saham Bumiputera (ASB). Agihan Pendapatan ASB sebenarnya ialah 5.5%. Walau bagaimanapun, kerana terdapat bonus sebanyak 0.25%, ini menjadikan jumlah pengagihan sebanyak 5.75%.
Apa yang anda akan nampak dalam penyata?
Sekiranya jumlah simpanan anda ialah RM 10,000 bermula dari 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2024, maka anda akan lihat 2 baris dalam penyata seperti berikut:
Item | Amaun (RM) |
Pengagihan Pendapatan | RM 550 |
Bonus | RM 25 |
Jumlah | RM 575 |
Adakah terdapat had untuk Bonus?
Setakat artikel ini ditulis, tiada sebarang had bonus ditetapkan. Bermakna, anda akan memperoleh jumlah penuh bonus berdasarkan baki simpanan terendah bulanan anda sepanjang tahun.
Berbanding dengan tahun agihan 2022, bonus tambahan 0.5% hanya terhad untuk 30,000 unit pertama sahaja.
Baru ambil Pembiayaan ASB pada hujung tahun 2024
Anda akan memperoleh pengagihan pendapatan berdasarkan baki terendah bulanan. Bermakna, walaupun pembiayaan anda bermula dikreditkan pada 1 Disember 2024, anda akan memperoleh agihan berdasarkan formula berikut:
RM 200,000 x 5.75% / 12 x 1 = RM 958.33
Sekiranya pembiayaan mula dikreditkan pada 1 November 2024, bermakna jumlah pendapatan yang diperoleh ialah sekitar RM 1916.67
Adakah masih berbaloi untuk teruskan pembiayaan ASB?
Bergantung kepada agihan pendapatan yang akan diumumkan pada tahun 2025 (yang akan diberikan pada tahun 2026), ianya akan menentukan samada masih berbaloi atau tidak berbaloi untuk melanggan pembiayaan ASB.
Bagi pelabur yang memilih untuk melabur melalui pembiayaan untuk sepanjang tahun 2024, ianya amat berbaloi.
Adakah ASB masih berbaloi berbanding Akaun Simpanan Tetap (Fixed Deposit)?
Ya. Simpanan di ASB masih lagi lebih berbaloi berbanding simpanan di akaun simpanan tetap bank.
Ini berdasarkan kadar purata deposit tetap selama 12 bulan iaitu hanya 2.64%.
Adakah Pengagihan Pendapatan Boleh Dikeluarkan?
Ya, boleh dikeluarkan bermula 1 Januari 2025 melalui aplikasi MyASNB. Walau bagaimanapun, sila maklum bahawa had pengeluaran sebanyak RM 2,000 masih terpakai untuk pengeluaran melalui aplikasi MyASNB.
Walaupun anda tidak mempunyai pelaburan tunai dan hanya melabur dengan ASB melalui pembiayaan, dividen masih boleh dikeluarkan kerana dividen yang diperoleh akan dikreditkan sebagai Pelaburan Tunai.
Anda sepatutnya mempertimbangkan untuk kekalkan simpanan dan pendapatan yang diterima untuk memperoleh manfaat kompaun.
Manfaat kompaun membolehkan dividen akan diberikan keatas dividen. Hanya biarkan dividen yang diterima dalam akaun untuk memperoleh lebih banyak dividen untuk tahun yang mendatang.
Agihan Pendapatan ASB lebih sedikit berbanding pulangan Unit Trust
Pelaburan melalui Unit Trust mungkin sekali akan lebih tinggi khususnya bagi dana yang tertumpu kepada Ekuiti bagi tahun 2024.
Jika anda melabur di Unit Trust dengan profil risiko tinggi, tahniah buat anda. Anda mungkin akan/telah memperoleh pulangan pelaburan yang lebih tinggi melalui peningkatan harga seunit unit amanah dan juga agihan dividen.
Walau bagaimanapun, anda perlu sentiasa peka dan cakna kepada sentimen dan situasi pasaran semasa supaya risiko diuruskan sebaiknya.
Berbeza dengan pelaburan ASB, harga seunit unit amanah adalah kekal pada RM 1.00. Maka, anda boleh melabur dengan tenang dan secara maksimum disebabkan kestabilan harga unit ASB.
Berminat untuk langgan Unit Trust. Dekat mana boleh beli?
Anda boleh beli Unit Trust melalui MyASNB dengan memilih tabung ASN. Ada pelbagai pilihan tabung yang disediakan oleh MyASNB.
Anda tidak perlu cari agen dan bayar fee yang mahal untuk melabur dalam Unit Trust.
Kesimpulan
Tahniah sekali lagi buat anda yang melabur melalui ASB. Ini ialah pengagihan pendapatan ASB yang tertinggi dalam masa 5 tahun.
Teruskan menambah simpanan ASB sehingga penuh disamping mengekalkan simpanan dan agihan pendapatan yang diterima. Semoga matlamat simpanan anda tercapai.
Penafian: Artikel ini bukan bermaksud untuk nasihat pelaburan atau nasihat kewangan peribadi. Ianya ditulis berdasarkan pendapat peribadi semata-mata. |